Banner: 'Spotlight on Legal Issues'

Maklumat Terkini Mengenai Aplikasi Tidak Rasmi AO3

OTW (Organisasi Karya-karya Transformatif) telah mula menerima laporan sejak hari Jumaat, 14 Februari, tentang aplikasi telefon bimbit yang memaparkan hasil karya peminat daripada Archive of Our Own – AO3 (Arkib Milik Kita) tanpa kebenaran. Salah satu aplikasi terbabit ialah Fanfic Pocket Archive Library, yang terdapat dalam Apple App Store dan Google Play. Sepanjang pemantauan OTW yang terkini ini, aplikasi tersebut menyediakan sebuah antara muka yang membolehkan pengguna mengakses karya-karya dalam AO3, dan ia mungkin sebenarnya tidak meniru, menyimpan atau mengedar semula apa-apa data dari AO3. Dalam aplikasi tersebut terdapat sebuah pilihan premium yang membenarkan penggunanya untuk mengakses ciri-ciri tambahan untuk aplikasi itu dengan bayaran bulanan; ia juga memainkan iklan. Pada waktu penulisan artikel ini, ia difahami bahawa aplikasi tersebut telah dikeluarkan dari Google Play, namun ia masih berada dalam Apple App Store.

Aplikasi seterusnya sebenarnya bukan setakat satu aplikasi sahaja, tetapi merupakan sekumpulan aplikasi oleh sebuah syarikat yang dipanggil Woodsign j.d.o.o. Aplikasi-aplikasi tersebut turut berada dalam Apple App Store. Nama-namanya ialah Harry Potter Fan Fiction, P.J. Fan Fiction, K-POP Fan Fiction, Bulletproof Boys Scout / ARMY, 1D Fan Fiction, MCU Fan Fiction, Fantastic Beasts Fan Fiction, Sherlock Homes Fan Fiction, Slashfic, TWD Fan Fiction dan Real Person Fiction. Setiap satu daripada aplikasi terbabit kelihatan seperti terlibat dalam pengedaran semula hasil karya peminat. Akses pengguna kepada pelbagai karya juga melibatkan pembayaran. Kami tidak dapat menyatakan dengan pasti yang kesemua karya-karya yang terkandung dalam aplikasi-aplikasi tersebut adalah diedarkan semula tanpa kebenaran, atau juga yang setiap satu daripada karya-karya tersebut adalah dari AO3, tetapi penyuaraan risau oleh segelintir pengguna, bersertakan dengan perbincangan dalam Tumblr mencadangkan bahawa sekurang-kurangnya beberapa daripada karya-karya tersebut bersumber dari AO3.

Berikut ialah beberapa perkara yang kami telah memberitahu pengguna yang risau melalui balasan emel yang diterima. Kami juga telah menyatakan beberapa langkah yang boleh diambil oleh pengguna jika mereka tidak menginginkan karya mereka untuk muncul dalam aplikasi-aplikasi terbabit (atau yang lain) ataupun laman web lain.

Sekiranya anda terdapat pertanyaan lanjut, sila bertanya di sini. Ini akan memudahkan pihak kami untuk menjawab soalan anda, malah ia juga dapat memanfaatkan orang ramai dengan maklumat yang sama.

Bolehkah OTW/AO3 keluarkan karya saya dari aplikasi-aplikasi ini?

OTW tidak memiliki hak cipta kepada hasil karya-karya peminat yang dipaparkan pada AO3. Apabila anda menerbit sebentuk karya, anda memberi kami kebenaran untuk memaparkan karya anda – itu sahaja, dan itu adalah perkara yang baik! Ia bermaksud bahawa apabila anda menerbit hasil karya peminat dalam AO3, hak ciptanya tetap milik anda. Oleh sebab itu, OTW tidak mampu mengeluarkan notis hak cipta bagi pihak pengguna kami. Pemilik hak cipta, dalam situasi ini para pereka peminat yang terjejas, harus berbuat demikian untuk karya-karya masing-masing. Walaupun OTW menggunakan undang-undang tanda dagangan untuk memastikan yang pereka aplikasi tidak mengelirukan pengguna untuk menganggap aplikasi tersebut adalah salah satu projek rasmi OTW, kami tidak mempunyai apa-apa hak milik sah atas apa yang dikongsi oleh anda dalam AO3. Oleh sebab demikian, kami tidak dapat mengeluarkan karya-karya tersebut dari aplikasi atau laman web lain.

Sebagai seorang pereka peminat, adakah saya memiliki apa-apa hak cipta atas hasil karya peminat saya?

Ya! Sebagai seorang pereka peminat, anda secara automatiknya memiliki hak cipta atas pengolahan asli anda. Anda tidak memiliki apa-apa hak atas elemen kepada kanon yang mendasarkan karya anda, seperti watak-watak dan latar, namun anda masih berhak atas apa yang anda telah menokok tambah kepadanya. Itu bermaksud orang lain tidak boleh meniru dan/atau menjual karya anda tanpa kebenaran anda.

Apakah yang boleh saya buat jika saya tidak menginginkan karya saya dipaparkan dalam aplikasi-aplikasi ini?

Pereka peminat yang menemui hasil karya mereka diedarkan dalam aplikasi-aplikasi tersebut tanpa kebenaran boleh membuat permintaan agar karya mereka dikeluarkan. Kebanyakan laman web mempunyai prosedur pengeluaran (dikenali sebagai prosedur pengeluaran Digital Millenium Copyright Act (DMCA)) yang memberi pemilik hak cipta, termasuklah pereka peminat, untuk membuat permintaan pengeluaran karya mereka. Biarpun jika aplikasi-aplikasi tertentu ini tidak mempunyai prosedur DMCA yang umum, pemilik hak cipta boleh pada bila-bila masanya menggunakan maklumat hubungan yang disenaraikan dalam halaman keterangan aplikasi terbabit untuk meminta agar karya mereka dikeluarkan dari mana-mana tempat yang tidak diberi kebenaran. Ini bermakna anda boleh mengemukakan notis yang mengandungi maklumat di bawah dan bertanya dengan pereka aplikasi tersebut untuk mengeluarkan karya anda. Memandangkan ia melibatkan undang-undang hak cipta, laman-laman atau aplikasi-aplikasi tersebut harus mematuhi notis DMCA dan permintaan untuk pengeluaran karya.

Apa yang patut saya sebut dalam notis DMCA untuk mengeluarkan karya saya dari sebuah aplikasi yang saya enggan ia dipaparkan dalam?

Jika anda menginginkan karya anda dikeluarkan dari salah satu aplikasi yang dibincangkan di atas (ataupun mana-mana yang lain!), anda boleh mengemukakan maklumat berikut dalam sebuah notis pengeluaran:

[Because it’s unlikely that these apps offer multilingual support, it might be a good idea to keep the statements written in purple in English, and add a translation afterwards.]
  • My name is __________ (Nama saya ialah __________) – sertakan Nama dan/atau Nama Samaran anda sebagai sebuah e-tandatangan
  • The following work(s) have been uploaded without permission: _________ (Karya(-karya) berikut telah dimuat naik tanpa kebenaran: _________) – sediakan pautan(-pautan) kepada karya-karya yang dipaparkan tanpa izin tersebut (contohnya, pautan kepada pdf, mobi atau laman web hos) ataupun maklumat berkaitan yang mencukupi untuk membenarkan laman web ataupun aplikasi tersebut untuk mengenal pasti karya-karya tertentu tersebut yang anda ingin dikeluarkan
  • The original version of the work(s) can be found here: __________ (Versi asal karya(-karya) tersebut boleh ditemui di sini: __________) – Di sini, sertakan pautan(-pautan) kepada versi karya anda tersebut yang dipaparkan dengan kebenaran (mahupun dalam AO3, Tumblr ataupun mana-mana sumber lain)
  • My email address is _________ (Alamat emel saya ialah _________) – Alamat emel pengemuka (sertakannya lagi sekali walaupun ia telah terdapat pada bahagian permulaan notis anda)
  • Pernyataan ini: “I have good faith belief that use of the material in the manner complained of is not authorized by the copyright owner, its agent, or the law” (Saya percaya bahawa penggunaan hasil karya seperti yang dilaporkan tidak diberi kebenaran oleh pemilik hak cipta, ejennya, ataupun undang-undang tersebut).
  • Pernyataan ini: “The information in the notification is accurate, and under penalty of perjury, that the complaining party is authorized to act on behalf of the owner of an exclusive right that is allegedly infringed” (Maklumat yang disertakan dalam pemberitahuan tersebut adalah tepat, dan di bawah penalti sumpah bohong, bahawa pihak yang mengadu tersebut telah diberi kebenaran untuk bertindak bagi pihak pemilik hak eksklusif yang didakwa telah dilanggar).

Akhir sekali, kedua-dua Apple App Store dan Google Play mempunyai prosedur untuk melaporkan mana-mana aplikasi yang melanggar hak cipta.
Prosedur tersebut boleh didapati melalui pautan berikut:

Apple App Store: https://www.apple.com/legal/internet-services/itunes/appstorenotices/#?lang=en

Google Play store: https://support.google.com/legal/troubleshooter/1114905

OTW ialah organisasi bukan keuntungan yang juga merupakan organisasi induk untuk pelbagai projek, termasuk AO3, Fanlore, Open Doors, TWC, dan Bantuan Guaman OTW. Kami ialah organisasi yang dikendalikan oleh peminat, dan disokong sepenuhnya melalui derma serta usaha sukarelawan. Ketahui lebih lanjut mengenai kami di laman web OTW. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pasukan penterjemah sukarela kami yang telah menerjemahkan halaman ini, sila kunjungi laman Penterjemahan.