
Kini, dengan berakhirnya kempen keahlian OTW (Organisasi Karya-Karya Transformatif) bagi Bulan April, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyertai. Dengan rasa teruja dan bersyukur kami sampaikan bahawa, sepanjang kempen ini berlangsung, kami berjaya mengutip sebanyak 264918.85 USD daripada 9110 orang penyumbang dari 84 buah negara, jauh melebihi sasaran kami yang ditetapkan 50000 USD. Kami juga berjaya meningkatkan jumlah keahlian kami kepada 16842 orang. Anda benar-benar luar biasa: terima kasih!
Kami terutama sekali ingin mengucapkan terima kasih seikhlasnya kepada ahli-ahli OTW. Sepanjang kempen ini, kami mempunyai 4348 orang penyumbang yang telah memilih untuk mendapatkan keahlian OTW. Terima kasih atas segala sumbangan anda, dari tahun demi tahun. Tanpa anda, kami tidak mungkin mampu membiayai projek-projek kami: anda sesungguhnya merupakan tulang belakang bagi pembangunan dan kejayaan OTW. Sebagai tanda penghargaan, kami kini mempunyai program ganjaran keahlian. Selepas tiga, lima, dan sepuluh tahun keahlian OTW, setiap ahli akan layak untuk menerima hadiah-hadiah eksklusif! Dan, sudah tentunya, ia adalah ahli-ahli OTW yang mengundi Lembaga Pengarah kami. Berita lanjut tentang pilihan raya kami yang akan datang tidak lama lagi akan disiarkan.
Kempen ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa semua sukarelawan kami, yang telah bertungkus-lumus untuk memastikan semua berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada anda semua di atas bantuan yang diberikan! Kami juga ingin menghulurkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah berbual, menghantar tweet, atau menyiarkan siaran mengenai kempen ini. Sokongan anda membawa perubahan yang sangat bermakna. Ribuan terima kasih diucapkan!
Dan akhir sekali: kempen ini secara rasminya telah tamat, tetapi anda boleh membuat sumbangan dan menyertai OTW sepanjang tahun. Anda mempunyai masa sehingga 30 Jun 2021 untuk menjadi Ahli, bagi melayakkan diri anda untuk mengundi dalam Pilihan raya kami yang akan datang pada bulan Ogos nanti!
OTW adalah organisasi bukan keuntungan yang juga merupakan organisasi induk pelbagai projek termasuk AO3, Fanlore, Open Doors, TWC, and Bantuan Guaman OTW. Kami adalah organisasi yang dikendalikan oleh peminat, dan disokong sepenuhnya melalui derma serta kerja sukarelawan. Ketahui lebih lanjut mengenai kami di laman web OTW. Untuk mengetahui lebih tentang pasukan penerjemah sukarela kami yang telah menerjemahkan halaman ini, kunjungi laman Penterjemahan.