Siapa Kami
Jawatankuasa Penterjemah adalah kumpulan sukarelawan dengan ahli-ahli dari seluruh dunia. Tanggungjawab utama kami ialah untuk membolehkan kandungan-kandungan dari OTW (Organisasi Karya-Karya Transformatif) dan projek-projeknya diakses oleh para peminat yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Kami juga membantu jawatankuasa OTW yang lain berkomunikasi dengan para peminat dan pengguna yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris.
Secara dalaman, jawatankuasa ini terbahagi kepada penterjemah dan pengurus sukarelawan. Penterjemah bekerja dalam kumpulan bahasa masing-masing; mereka menghasilkan dan menyemak teks-teks yang telah diterjemahkan. Pengurus sukarelawan pula menyelaraskan kumpulan-kumpulan bahasa dan menguruskan tugas pentadbiran yang merangkumi kerja-kerja penterjemahan seperti menghasilkan dan memuat naik dokumen, memantau tarikh akhir tugas, menemu duga penterjemah yang berpotensi dan melatih para sukarelawan yang baharu.
Kami mempunyai 47 kumpulan bahasa yang berbeza: Bahasa Afrikaans, Bahasa Arab, Bahasa Bengali, Bahasa Portugis Brazil, Bahasa Bulgaria, Bahasa Catalonia, Bahasa Cina Ringkas, Bahasa Cina Tradisional, Bahasa Croatia, Bahasa Czech, Bahasa Denmark, Bahasa Belanda, Bahasa Estonia, Bahasa Portugis Eropah, Bahasa Filipina, Bahasa Finland, Bahasa Perancis, Bahasa Jerman, Bahasa Greek, Bahasa Hebrew, Bahasa Hindi, Bahasa Hungary, Bahasa Indonesia, Bahasa Itali, Bahasa Jepun, Bahasa Korea, Bahasa Kyrgyz, Bahasa Lithuania, Bahasa Macedonia, Bahasa Melayu, Bahasa Marathi, Bahasa Norway, Bahasa Parsi, Bahasa Poland, Bahasa Romania, Bahasa Rusia, Bahasa Serbia, Bahasa Sinhala, Bahasa Slovakia, Bahasa Slovenia, Bahasa Sepanyol, Bahasa Sweden, Bahasa Thai, Bahasa Turki, Bahasa Ukrania, Bahasa Vietnam dan Bahasa Wales. Kami sentiasa mencari peluang untuk menubuhkan kumpulan-kumpulan bahasa yang baharu!
Tugas Kami
Jawatankuasa Penterjemah menterjemahkan bahan-bahan untuk OTW dan projek-projeknya, termasuk laman utama organisasi dan juga FAQ Archive of Our Own – AO3 (Arkib Milik Kita). Kami juga mengusahakan berita dan notis untuk projek-projek OTW seperti pengumuman import Open Doors (Projek Pemeliharaan Bahan-Bahan Digital dan Bukan Digital), berita AO3, dan kempen keahlian OTW.
Tambahan pula, kami bekerjasama dengan kumpulan Polisi & Aduan dan juga Bantuan AO3 dalam menterjemahkan pesanan-pesanan dan permintaan para pengguna, dan membantu untuk menjawab komen-komen yang bukan dalam Bahasa Inggeris.
Tentang Kumpulan Bahasa Melayu
- Kumpulan Bahasa Melayu telah ditubuhkan pada 21 Oktober 2016.
- Kumpulan ini kini mempunyai 5 orang penterjemah.
- Mereka telah bekerja menterjemahkan kandungan seperti FAQ AO3 dan laman web AO3.
- Mereka juga telah melaksanakan projek-projek khas seperti menyediakan terjemahan untuk kempen keahlian OTW dan pilihan raya.
- Beberapa orang ahli kumpulan ini turut membantu kumpulan Bantuan AO3 dan kumpulan Polisi & Aduan berkomunikasi dengan para pengguna AO3.
Hubungi kami
Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh Jawatankuasa Penterjemaah, kumpulan-kumpulan kami atau ingin menjadi sukarelawan bersama dengan kami atau sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi kami—kami sentiasa mengalu-alukan anda.
Di mana kami berada
Ini adalah peta yang menunjukkan ahli-ahli penterjemah OTW di seluruh dunia pada bulan Disember 2020, denga negara-negara yang mempunyai ahli yang ramai dilorekkan dengan warna lebih gelap. (Ahli-ahli yang ingin muncul di peta secara rela sahaja yang disertakan). Peta tersebut menunjukkan kewarganegaraan atau status tempat tinggal mereka, bergantung kepada keputusan mereka untuk menggunakan yang mana satu.