Jawatankuasa Pasukan Pembantu Lembaga

Siapa Kami

Jawatankuasa Pasukan Pembantu Lembaga membantu Lembaga Pengarah OTW (Organisasi Karya-Karya Transformatif) dengan tugasan pentadbiran dan pengurusan projek. Kami juga bekerjasama dengan jawatankuasa lain untuk menyelaras dan menyiapkan projek khas yang memerlukan sokongan tambahan.

Antara tugasan tetap kami termasuk penyuntingan salinan penerbitan Lembaga, menyelia pelayan Discord Lembaga OTW, menyelaras projek, dan menyemak dokumentasi Lembaga. Kebanyakan tugasan Pasukan Pembantu Lembaga tertumpu kepada projek dalaman OTW, oleh itu kehadiran kami secara umum sangat terhad (selain daripada menyelia mesyuarat Lembaga di Discord) – kami bukan jawatankuasa yang akan anda sering lihat menyiarkan artikel berita atau menganjurkan acara awam.

Walaupun Pasukan Pembantu Lembaga bekerja secara langsung dengan Lembaga, sukarelawan dalam Pasukan ini bukanlah ahli Lembaga dan tidak mempunyai kuasa seperti ahli Lembaga. Sebagai contoh, sukarelawan Pasukan Pembantu Lembaga tidak boleh mengundi dalam keputusan Lembaga, menetapkan dasar OTW, atau menyelesaikan perselisihan antara jawatankuasa.

Di luar tugasan kami dengan Lembaga, Pasukan Pembantu Lembaga juga bekerjasama dengan jawatankuasa lain untuk menyokong matlamat dan projek merentas jawatankuasa. Matlamat Lembaga adalah untuk menyokong OTW, dan kami sebagai sukarelawan Pasukan Pembantu Lembaga berusaha sedaya upaya untuk membantu dalam hal ini.

Struktur Dalaman

Pasukan kami biasanya terdiri daripada lima hingga lima belas sukarelawan, dibahagikan kepada empat pengkhususan: Penyunting Salinan/Penulis, Pakar Dokumentasi, Penyelia, dan Pakar Projek.

Penyunting Salinan/Penulis Pasukan Pembantu Lembaga membantu menyusun dan menyunting artikel berita, kenyataan, dasar, dan dokumen lain untuk Lembaga OTW. Pakar Dokumentasi Pasukan Pembantu Lembaga membuat dan menyemak dokumentasi dalaman OTW untuk mengelakkan kehilangan pengetahuan institusi serta meningkatkan ketelusan. Penyelia Pasukan Pembantu Lembaga menyelia pelayan Discord Lembaga OTW serta komen di Blog Berita AO3 dan OTW. Pakar Projek Pasukan Pembantu Lembaga menyiapkan kajian khas atau projek dasar untuk Lembaga dan jawatankuasa lain.

Setiap pengkhususan memberi tumpuan kepada tugasan yang dinyatakan di atas, tetapi kami juga bekerjasama dan menerima sokongan daripada pengkhususan dan ahli pasukan lain. Kami amat menitikberatkan kerjasama dengan jawatankuasa lain untuk menyokong mereka dengan tugasan sekiranya mereka memerlukan bantuan tambahan.

Dari semasa ke semasa, Pasukan Pembantu Lembaga juga melantik pakar untuk menyiapkan projek atau mencapai matlamat jangka pendek yang tertentu. Ini boleh menjadi pendekatan yang berguna untuk menangani tugasan yang memerlukan kepakaran atau pengetahuan yang tidak dimiliki oleh dalam jawatankuasa kami pada masa ini.

Hubungi Kami

Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Pasukan Pembantu Lembaga, atau anda mempunyai soalan lain, sila hubungi kami – kami amat mengalu-alukan maklum balas atau pertanyaan anda.