Hari Fanworks Antarabangsa (IFD) 2020 akan tiba tidak lama lagi

Hari Fanworks Antarabangsa tahun ini bakal tiba! Kami meraikan IFD pada 15hb Februari, dan tarikh tersebut jatuh pada hari Sabtu untuk tahun ini. 2020 menandakan sambutan tahunan IFD kami yang keenam, dan kami amat teruja untuk meneruskan tradisi ini!

Apakah sebenarnya Hari Fanworks Antarabangsa?

OTW (Organisasi Karya-Karya Transformatif) ditubuhkan untuk memberi pendedahan, perkongsian dan memelihara karya-karya yang dihasilkan oleh para peminat fandom, dan Hari Fanworks Antarabangsa merupakan peluang istimewa untuk meraikan karya-karya tersebut. Kami bertuah untuk dapat menjadi sebahagian daripada komuniti fandom luar biasa ini yang meliputi seluruh dunia, dan kami berharap yang orang ramai termasuk anda dapat mengambil bahagian dalam acara-acara yang kami telah rancangkan untuk IFD dan juga pada hari-hari menjelangnya. Dalam waktu tersebut, kami akan mengundang penglibatan dari penghasil karya dan para pengguna untuk menghasilkan karya baru dan mengiktiraf beberapa daripada hasil fiksyen, hasil seni peminat, podfic dan fanvid yang anda telah nikmati sepanjang 12 bulan yang lalu. Tidak kira di mana anda berada atau apa bahasa tuturan anda, kami ingin mendengar suara anda!

Cabaran Fanworks: bagaimanakah reaksi watak-watak anda?

Untuk meraikan #IFD2020, kami akan mengadakan sebuah cabaran untuk para penghasil karya. Kami ingin melihat anda menggunakan idea ringkas ini sebagai inspirasi untuk IFDrabble, IFDrawble, ataupun lain-lain karya peminat yang pendek atau ringkas dalam apa jua bentuk yang sesuai bagi anda. Mula hasilkannya sekarang dan tunjukkannya dalam talian pada bulan Februari dengan menyertakan tag #IFDrabble menerusi media sosial atau ‘Hari Fanworks Antarabangsa 2020’ di Archive of Our Own – AO3 (Arkib Milik Kita). Kami akan menyiarkan semula blog kegemaran kami (yang SFW!) melalui saluran media sosial kami dari 8hb hingga 15hb Februari.

Apakah idea ringkas pada tahun ini? Sekaranglah masa yang sesuai untuk menjadi meta! Kami ingin melihat watak-watak menemui karya peminat tentang diri mereka sendiri. Sebagai contoh, bagaimana jika Crowley memegang beberapa keping fanart Good Omens dan menunjukkannya kepada Aziraphale? Atau jika Voldemort mula meneliti karya-karya peminat Harry Potter untuk mencari strategi dalam memenangi peperangan sihir? Kami hanya boleh bayangkan haru-biru yang mungkin berlaku; tetapi kami bernasib baik, kami hanya perlu membayangkannya. Menjadikan semuanya nyata ialah tugas anda!

Jadi, mula menghasilkan karya anda sekarang dan tunjukkannya dalam talian pada bila-bila masa bermula dari 1hb Februari. (Jangan lupa menyertakan tag yang betul!) Siaran blog IFD kami yang berikutnya akan muncul pada 8hb Februari, menandakan permulaan siaran semula karya peminat untuk cabaran kami, serta jemputan kepada anda untuk mengambil bahagian dalam beberapa acara yang akan datang. Kami tidak sabar untuk bertemu kembali dengan anda nanti!


OTW ialah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang juga merupakan organisasi induk pelbagai projek termasuk AO3, Fanlore, Open Doors, TWC, and Bantuan Guaman OTW. Kami ialah organisasi yang dikendalikan oleh peminat, dan disokong sepenuhnya melalui derma serta kerja sukarelawan. Ketahui lebih lanjut mengenai kami di laman web OTW. Untuk mengetahui lebih lagi tentang pasukan penterjemahan sukarela kami yang telah menterjemahkan halaman ini, kunjungi halaman Penterjemahan.

Event

Comments are closed.