Jawatankuasa Penterjemah

Siapa Kami

Jawatankuasa Penterjemah adalah kumpulan sukarelawan dengan ahli-ahli dari seluruh dunia. Tanggungjawab utama kami ialah untuk membolehkan kandungan-kandungan dari OTW dan projek-projeknya diakses oleh para peminat yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Kami juga membantu jawatankuasa dan sukarelawan OTW yang lain berkomunikasi dengan para peminat dan pengguna yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris.

Secara dalaman, jawatankuasa ini terbahagi kepada penterjemah dan pengurus sukarela. Penterjemah bekerja di dalam kumpulan bahasa masing-masing; mereka menulis dan menyemak teks-teks yang telah diterjemahkan. Pengurus sukarela pula mengkoordinasikan kumpulan-kumpulan bahasa dan membuat kerja pentadbiran yang merangkumi kerja-kerja penterjemahan seperti menghasilkan dan memuat naik dokumen, memantau tarikh akhir tugas, menemu duga penterjemah yang berpotensi dan melatih para sukarelawan yang baharu.

Kami mempunyai 36 kumpulan bahasa yang berbeza: Bahasa Arab, Bengali, Bahasa Portugis Brazil, Bahasa Catalonia, Bahasa Cina, Bahasa Croatia, Bahasa Czech, Bahasa Denmark, Bahasa Belanda, Bahasa Portugis Eropah, Bahasa Filipina, Bahasa Finland, Bahasa Perancis, Bahasa Jerman, Bahasa Greek, Bahasa Hebrew, Bahasa Hungary, Bahasa Indonesia, Bahasa Itali, Bahasa Jepun, Bahasa Korea, Bahasa Latvia, Bahasa Melayu, Bahasa Marathi, Bahasa Norway, Bahasa Poland, Bahasa Romania, Bahasa Rusia, Bahasa Serbia, Bahasa Slovakia, Bahasa Slovenia, Bahasa Sepanyol, Bahasa Sweden, Bahasa Turki, Bahasa Vietnam dan Bahasa Wales. Kami sentiasa mencari peluang untuk menubuhkan kumpulan-kumpulan bahasa yang baharu!

Tugas Kami

Jawatankuasa Penterjemah menterjemahkan bahan-bahan untuk OTW dan projek-projeknya, termasuk laman utama organisasi dan juga Archive of Our Own – AO3 FAQs. Kami juga mengusahakan berita dan notis untuk projek-projek OTW seperti pengumuman import Open Doors, berita AO3, kempen keahlian OTW dan sari kata video.

Tambahan pula, kami bekerjasama dengan kumpulan Polisi & Aduan dan juga Bantuan dalam menterjemah pesanan-pesanan pengguna dan permintaan, dan membantu untuk menjawab komen-komen yang bukan dalam Bahasa Inggeris.

Tentang Kumpulan Bahasa Melayu

Kumpulan Bahasa Melayu telah ditubuhkan pada 21 Oktober 2016 dan mempunyai lima orang sukarelawan pada masa kini. Mereka bekerja di laman web OTW, FAQ AO3, berita dan juga membantu kumpulan Polisi & Aduan dan Bantuan memberi jawapan kepada pengguna AO3.

Hubungi kami

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh Jawatankuasa Penterjemaah, kumpulan-kumpulan kami atau ingin menjadi sukarelawan bersama dengan kami atau sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan, sila hubungi kami—Kami sentiasa mengalu-alukan anda.

Di mana kami berada

Ini adalah peta yang menunjukkan ahli-ahli penterjemah OTW di seluruh dunia pada bulan September 2018. Negara-negara yang mempunyai ahli yang ramai dilorekkan dengan warna lebih gelap. (Ahli-ahli yang ingin ditunjukkan di peta secara rela sahaja yang dinyatakan). Peta tersebut menunjukkan kewarganegaraan atau status residensi mereka, bergantung kepada keputusan mereka untuk menggunakan yang mana satu.